Recent Posts

Sunday, May 15, 2011

Wasiat Muslimah

Setelah al-Harith bin Amr, raja negeri Kandah berkahwin dengan anak perempuan ‘Auf bin Muhlim Asyaibani, pada waktu utusan diraja hendak membawa pengantin perempuan untuk disampaikan kepada Raja tadi, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya ini. Dia berkata:-

“Wahai anakku!
Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu,
Aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya.

Tetapi!
Ia sebagai peringatan untuk yang lalai
Dan pedoman kepada yang berakal.

Andai ibubapamu dapat memberikan segala-galanya,
Nescaya,
tidak perlu bagimu seorang suami,
dan kau terlalu berharga bagi kami.

Tetapi!
Wanita dicipta untuk lelaki
Lelaki dicipta untuk wanita.

Bercerailah kau dari ayunan buaianmu
Meninggalkan teratak tempat besarmu
Melangkah menuju ke alam baru
Yang belum kau kenal
Yang belum kau biasa

Kau milik suamimu
Anggap dirimu sebagai hamba
Jadilah teman yang paling setia

Bawalah wasiat dariku
Sepuluh sifat
sebagai bekalan perjalanan
menuju alam bahagia

Relakan hatimu
sekadar yang ada
semoga suci hatimu
dengan taat setia

Dan hulur tanganmu
tanda mahu berganding bahu.

Jauhkan dirimu
dari segala yang jelek
yang dihidu atau dipandang mata

Juga awasi gerak lakumu
agar tidak sumbang mengguris rasa

Sembunyikan suram wajahmu
Gantikan ia dengan sinar
secerah sang suria pagi.
Dan badan yang semerbak harum
Bermandikan bauan
Mata berpasak, kening bercelak
Itu menambah seri
Itu membangkit berahi

Dan…
Air cukup memada
Bagi yang tiada

Jaga masa makannya
Juga waktu tidurnya
Kerana…
Perut kosong hilang bicara
Mata mengantuk hilang kesabaran di dada

Kunci mulutmu
Tabahkan hatimu
Badanmu terselamat
Jiwa temanmu tidak terseksa

Simpan dulu kerianganmu
Di kala dia berduka
Pendamkan kesedihanmu
Di kala dia bergembira

Akibat aksi tidak senada
Hilang simpatimu disebabkan pertama
Hilang suasana disebabkan kedua…

Hulurkan tanganmu…
Andai kau menghulur sebelah tangan
Nescaya dia menghulur kedua belah tangan
Tidak cukup tangan, nyiur pula ditadahkan

Ketahuilah!
Kasihmu tidak sampai ke mana
Jika hatimu berdua tidak sejiwa
Kasihmu, kasihlah dia
Bencimu, bencilah dia
Allah saja yang menentukan nasibmu.

Kau bawalah wasiatku ini, dan sampaikan salamku kepada suamimu.”


Beginilah ibu tadi menambah pesan kepada anaknya. Seterusnya wanita itu telah mencapai kedudukan yang mulia disisi suaminya. Dia telah memperolehi tujuh orang anak lelaki, yang kesemua telah menjadi pemerintah negeri Yaman selepas ayahanda mereka. Beginilah seterusnya status wanita-wanita yang memiliki kelebihan.

Adaptasi drpd Al-Mustanir

0 comments:

Post a Comment